Sunday, September 27, 2009

Bagan Pinang: bukan seperti pinang dibelah dua


Bagai pinang dibelah dua, jika pinang hijau maka kedua-dua belah akan berwarna hijau,
begitu juga seterusnya jika yang dibelah itu pinang merah ataupun pinang tua. Pinang
dibelah dua menggambarkan pasangan pengantin yang benar-benar sepadan dari segi
kedudukan dan paras rupa, namun bagaimana pula suasana pilihanraya kecil (PRK) Bagan
Pinang, Negeri Sembilan?. Isu pengundi pos dan calon 'veteran' bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad sudah cukup mengundang banyak kontrovesi dan perdebatan.

Dari sekitar 14 ribu pengundi, 5 ribu atau lebih 1/3 adalah pengundi pos yang sekian lama dianggap sebagai undi 'bonus' kepada Barisan Nasional.
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta SPR menilai kembali sistem pengundian pos kerana sistem tersebut sudah ketinggalan zaman
“.. Undi pos digunakan pada masa zaman menentang komunis di mana anggota tentera berada dalam hutan ketika pilihan raya”.
“Sekarang mereka tak masuk hutan lagi. Lagi satu,... anggota keluarga dan isteri tentera juga mengundi pos. Sepatutnya tak boleh dianggap pengundi pos. Kadang-kadang anggota tentera mempunyai dua tempat daftar kerana memiliki kad tentera dan kad pengenalan”.

Walaupun undi pos boleh membantu BN tetapi jangan lupa pada PRK Teluk Kemang (Bagan
Pinang juga dalam Parlimen Teluk Kemang) tahun 2000 antara Roslan Kasim(Keadilan) dan
S Sothinathan(BN), walaupun BN menang, buat pertama kali dalam sejarah, undi pos telah menyebelahi pembangkang (Keadilan). Ramai pengundi pos sebenarnya tidak perlu
"mengeposkan" undi mereka lebih awal kerana mereka memang berada di Bagan Pinang pada hari pengundian. Itu yang berlaku pada tahun 2000, mereka tidak mengundi pos tetapi mengundi seperti biasa kerana tidak yakin dengan ketelusan undi pos. Apakah suasana ini akan berulang?

Awal-awal lagi Umno Telok Kemang sudah melobi mencalonkan 'veteran' yang juga mantan
Menteri Besar, merangkap ketua bahagian, Tan Sri Isa Samad .Kenyatan akhbar diadakan bersama Menteri Besar Dato Seri Mohamad Hasan untuk menunjukkan sokongan padu BN Negeri Sembilan kepada Tan Sri Isa Samad . Apakah benar begitu? Apakah Dato Seri Mohamad Hasan tidak tercabar dengan kehadiran semula Tan Sri Isa Samad?, lebih-lebih lagi dalam suasana kebangkitan Pakatan Rakyat yang telah menghilangkan kuasa 2/3 BN di Dewan Undangan Negeri Sembilan. Satu penulis blog menyebut ".. Ada orang kata kalau Tan Sri Isa Samad bertanding di Bagan Pinang dan menang , mudah untuk menyingkirkan Mohamad Hasan dari kerusi Menteri Besar. Undi tidak percaya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri dari 4 ADUN BN , 10 ADUN DAP , 4 ADUN PKR dan 1 ADUN PAS sudah cukup untuk Negeri Sembilan mendapat seorang Menteri Besar yang baru.Tidak semestinya Menteri Besar tersebut Tan Sri Isa Samad sendiri , asalkan ianya dipersetujui oleh majoriti ADUN".

Tan Sri Isa Samad mendakwa beliau telah bebas dari hukuman politik wang. "Jika mereka
yang dipenjarakan pun boleh bertanding dan menang, kenapa tidak saya!" begitulah lebih kurang ungkapan beliau dalam satu sidang akhbar. Persoalannya; Apakah boleh disamakan mereka yang dikenakan tindakan disiplin atau dipenjara kerana memperjuangkan keadilan dengan Tan Sri yang digantung kerana politik wang?. Malah beberapa pimpinan tertinggi UMNO, termasuk mantan Presiden, Tun Mahathir menegaskan bahawa pencalonan Tan Sri Isa Samad, walaupun akan menang tetapi ia tidak baik untuk imej dan masa depan UMNO dan BN. "Orang UMNO Teluk Kemang memang sokong dia, tetapi belum tentu pengundi akan sokong dia" ujar ahli MT UMNO, Dato' Noh Omar pula.

Bagaimana pula calon dari PAS atau Pakatan Rakyat (PR). Antara yang disebut-sebut ialah Dr Rosli Yaakob, pakar ekonomi yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan.
Beliau pernah bertanding di DUN Linggi dan tewas ditangan Tan Sri Isa samad pada
PRU1999. Beliau juga pernah bertanding dan tewas di DUN Paroi dan Parlimen Jempol (2004). Bagaimana pula peluang Pesuruhjaya Pas Negeri sekarang Zulkefly
Mohamad Omar yang sudah 3 kali tewas di DUN Lenggeng, Yang Dipertua PAS kawasan
Ramli Ismail dan bekas Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Ustaz Kassim Tahir. Apakah
mereka boleh menggugat kewibawaan dan popularitu Tan Sri Isa.

Kepada pengundi Bagan Pinang, kepada gadis/teruna yang bakal menerima suami/isteri,
kepada makcik-pakcik yang bakal menerima menantu; ingatlah Hadis berikut bila mahu
memilih calon suami/isteri;
Dari Abu Hurairah r.a. katanya:
"Wanita itu dikahwini kerana 4 perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana
kecantikannya dan kerana agamanya maka utamakanlah kerana agamanya nescaya engkau
bahagia"-Sahih Muslim

Bertuahlah penduduk Bagan Pinang jika mendapat menantu dan pemimpin yang berharta,
dari keturunan yang mulia, segak, cantik dan beragama seperti Nabi Yusuf a.s. yang
dikisahkan dalam al Quran surah Yusuf Ayat 54 -55; .... berkatalah raja kepadanya:
"Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami ". Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya".

Kita lihatlah sendiri, bila tiba majlis perkahwinan 11 Oktober nanti 'Aku nikahkan dikau......dengan.....dengan maskahwin 14000 pengundi..tunai" siapakah
"dikau" yang akan terpilih menjadi pasangan bertuah gadis/teruna Bagan Pinang; Apakah
pinang hijau atau pinang merah. Kami rakyat jelata sekadar berdoa semoga pasangan
Bagan Pinang akan berbahagia, bukan sekadar sampai ke anak cucu...malah akan terus
berbahagia dengan keridhaan Ilahi di dunia dan akhirat. Bagi calon yang tewas atau hajat tidak kesampaian, bersabarlah, belum sampai jodoh; bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. PRK juga seperti perkahwinan; ia bukanlah akhir perjuangan. Keadilan mesti terus diperjuangkan dan hukum Tuhan mesti ditegakkan.

Mohd Misri
Seremban

No comments:

Post a Comment